UniMAP Conference and Proceedings

Permanent URI for this collection

Browse

Recent Submissions

Now showing 1 - 5 of 180
  • Publication
    Pembudayaan kreativiti dan inovasi dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi
    (Penerbit UniMAP (UniMAP Press), 2019)
    Nor Hafiza Haron
    ;
    Supyan Hussin
    ;
    Hazuraini Suffian Foo
    ;
    Hafidzan Yusof
    Pembudayaan kreativiti dan inovasi bermula dengan pendidikan yang diperolehi di mana-mana pusat pembelajaran atau institusi pengajian dan melibatkan semua lapisan masyarakat dan golongan di alam melayu, terutama kepada generasi muda. Usaha tersebut dilihat sebagai satu keperluan untuk memanfaatkan kebolehan daya kreatif dalam kalangan rakyat Malaysia. Bagi merealisasikan hasrat tersebut, pelbagai pihak telah melaksanakannya mengikut kepakaran dalam bidang masing-masing khususnya di Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Ciptaan dan inovasi ini telah menukar cara hidup masyarakat masa kini dan menjadikan kehidupan manusia lebih mencabar, seronok dan berdaya saing. Malah kreativiti dan inovasi juga telah menjadikan pelajar-pelajar lebih berdinamika dan berkebolehan dalam segala aspek kehidupan mereka dimana keupayaan pengetahuan dapat ditingkatkan. Justeru itu, makalah ini diwujudkan atas sebahagian usaha pembudayaan kreativiti dan inovasi dalam kalangan pelajar iaitu dengan memperkenalkan satu rekabentuk aplikasi pembelajaran secara mudah alih kepada pelajar kurang upaya. Pelajar kurang upaya atau dikenali sebagai pelajar yang mempunyai learning disability juga mempunyai kecenderungan, minat dan kesukaan untuk mempelajari sesuatu bahan pembelajaran, namun kemampuan mereka agak terbatas. Rekabentuk aplikasi ini dinamakan sebagai The First Alphabet for Dyslexia. Kertas kerja ini akan membincangkan rekabentuk bagi aplikasi The First Alphabet for Dyslexia bagi murid-murid/pelajar kurang upaya atau disleksia. Ia juga akan melihat kepada kajian literatur beberapa aplikasi yang pernah digunakan dan sedang digunakan khususnya kepada pelajar disleksia dan secara amnya kepada aplikasi mudah alih. Akhir sekali kertas kerja ini akan membincangkan tentang ciri-ciri budaya di institusi pengajian tinggi yang menggalakkan kreativiti dan inovasi para pelajarnya sekaligus untuk mendorong semangat belajar yang tinggi di kalangan murid/pelajar, mempunyai daya usaha sendiri dan sentiasa berusaha mengembangkan potensi ke arah yang lebih baik.
  • Publication
    Memperkasakan kaum wanita melalui pendidikan dan kerelevanannya kepada kemanusiaan: satu bacaan feminisme pasca kolonial dalam the Stillborn dan Mencari Azizah
    (Penerbit UniMAP (UniMAP Press), 2019)
    Shakti Nagesvari Paramasivan
    Kertas kerja ini memberi fokus kepada peranan pendidikan dalam pembentukan identiti dan jati diri watak wanita dalam novel The Stillborn oleh Zaynab Alkali dan Mencari Azizah oleh Khadijah Hassim. Kritikan terhadap hegemoni Barat yang dibawa oleh Chandra Talpade Mohanty dalam Feminisme Pasca Kolonial digunakan sebagai kaedah analisis untuk kedua buah novel ini. Pengarang wanita dari Nigeria dan Malaysia ini mempunyai kesedaran tentang kedudukan kaum wanita dalam sistem sosial setempat yang masih menyekat dan mengongkong hak dan kebebasan wanita dalam pelbagai aspek seperti pendidikan, perkahwinan, pemilikan harta, hak atas diri sendiri dan kebebasan bersuara. Maka, kertas kerja ini bertujuan untuk menghubungkan dimensi antara perdebatan global yang berterusan tentang sistem patriarkal yang masih dipraktikkan dalam pelbagai aspek kehidupan manusia dengan memberi fokus kepada hasil karya pengarang Malaysia dan Nigeria. Dalam kedua buah novel ini, Alkali dan Khadijah membawa wawasan bahawa pendidikan adalah senjata terbaik untuk membebaskan fizikal dan mental wanita dari terus didiskriminasi dan dipinggirkan dalam sistem patriarkal setempat. Alkali dan Khadijah telah mengiktiraf kekuatan, ketekunan, cabaran, keberanian dan keunikan watak wanita dalam menyampaikan realiti kehidupan wanita dalam sistem patriarki setempat.
      2  2
  • Publication
    Pengajaran dan pembelajaran kemahiran menulis Bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina
    (Penerbit UniMAP (UniMAP Press), 2019)
    Celinea Lasan
    ;
    Shamsul Aizuwani Nawi
    Penulisan ini membincangkan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran kemahiran menulis bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dalam mendepani era revolusi Industri 4.0. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif dan dilaksanakan secara kajian kes di salah buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina di daerah Klang, Selangor. Pemerhatian pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah telah dilaksanakan bagi mendapatkan data utama. Seterusnya, triangulasi data dijalankan melalui temu bual separa berstruktur dan analisis dokumen. Kajian ini mengetengahkan tiga objektif utama iaitu untuk mengenal pasti penguasaan kemahiran menulis bahasa Melayu murid SJKC. Selain itu, penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa dalam kalangan murid di SJKC juga dikenal pasti. Seterusnya, kajian ini juga mengenal pasti pengunaan bahan sastera dalam pengajaran dan pembelajaran kemahiran menulis bahasa Melayu di SJKC. Peserta kajian dipilih secara persampelan bertujuan yang terdiri daripada tiga orang murid Tahun Tiga dari kelas berlainan dan tiga orang guru bahasa Melayu yang mengajar Tahun Tiga di sekolah kajian. Hasil pemerhatian pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, temu bual dengan peserta kajian dan analisis dokumen ditranskripsikan dan dianalisis menggunakan perisian Atlas.ti Mac versi 1.6.0 (484). Data dianalisis secara deskriftif dan dipersembahkan dalam bentuk naratif. Dapatan kajian menunjukkan murid menggunakan strategi penyoalan, penjelasan, perumusan dan peramalan dalam kemahiran menulis bahasa Melayu. Penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua dalam kalangan murid di SJKC adalah sederhana. Dapatan juga menunjukkan murid Tahun Tiga SJKC juga kurang berminat dalam penulisan karangan bukan naratif dan kurang menggunakan bahan sastera dalam pembelajaran kemahiran menulis bahasa Melayu. Hasil kajian ini dapat digunakan dalam penambahbaikan pembinaan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) bagi kemahiran menulis bahasa Melayu. Kajian ini juga memberi manfaat kepada guru-guru bahasa Melayu dalam usaha meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid di Sekolah Jenis Kebangsaan.
      1
  • Publication
    Kemahiran pertuturan dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Bahasa Melayu sebagai bahasa asing: pengalaman di Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
    (Penerbit UniMAP (UniMAP Press), 2019)
    Mazlina Ahmad
    ;
    Noor Rohana Mansor
    ;
    Roswati Abdul Rashid
    ;
    Rosdi Zakaria
    ;
    Sharipah Nur Mursalina Syed Azmy
    Makalah ini bertujuan berkongsi pengalaman dan membincangkan salah satu komponen kemahiran abad ke-21 dalam PdP bagi kursus bahasa Melayu sebagai bahasa asing di UMT, iaitu kemahiran komunikasi (communication skills) bahasa Melayu. Dalam konteks pembelajaran bahasa Melayu sebagai bahasa asing, keperluan elemen 4C sangat signifikan dan boleh dijadikan sebagai kayu ukur untuk menilai kemampuan pelajar asing dalam penguasaan bahasa Melayu. Di UMT, Bahasa Melayu Komunikatif (BMK) telah dijadikan sebagai kursus teras universiti bagi pelajar asing. Selain itu, kursus ini juga turut menjadi pilihan bagi pelajar-pelajar asing yang terdiri daripada pelajar pascasiswazah di bawah program Erasmus Mundus Masters Course in Tropical Biodiversity and Ecosystems (TROPIMUNDO) di UMT yang mempelajari BMK selama satu semester. Kajian ini akan merujuk kepada kursus BMK bagi kedua-dua kelompok pelajar asing, iaitu pelajar daripada kelompok kursus teras dan pelajar TROPIMUNDO. Secara keseluruhannya, dapatan menunjukkan elemen kemahiran komunikatif tidak diterjemahkan dengan baik oleh pelajar melalui aktiviti PdP di dalam bilik kuliah. Oleh itu, kajian ini akan mencadangkan beberapa penambahbaikan yang diperlukan untuk memastikan pelajar menguasai elemen komunikatif terutamanya bagi kursus bahasa Melayu untuk pelajar asing
      1  3
  • Publication
    Nilai-nilai religious dalam cerita rakyat Wali Songo
    (Penerbit UniMAP (UniMAP Press), 2019)
    Umi Mujawazah
    Cerita rakyat adalah cerita dari zaman dahulu yang hidup dalam kalangan rakyat dan diwariskan secara lisan. Pada saat ini cerita rakyat juga sudah banyak dipublikasikan dalam bentuk cetak untuk kepentingan pelestariannya. Cerita rakyat merefleksikan konstruksi masyarakat dalam berbagai perspektif, baik budaya, sosial, ekonomi, maupun agama (religious). Nilai-nilai religious yang terefleksi dalam cerita rakyat nusantara telah terekam selama beratus-ratus tahun dengan baik, baik dalam bentuk lisan maupun tulis (manuskrip dan cetak). Salah satu cerita rakyat yang mengandung nilai-nilai religious adalah cerita rakyat Walisongo. Nilai-nilai itu harus dikaji beserta cara penyampaiannya.. Metode yang digunakan untuk menganalisis nilai-nilai religious dalam cerita rakyat Walisongo adalah metode kualitatif. Metode ini meliputi metode pengumpulan data dan metode analisis data. Data dikumpulkan dari hasil pembacaan terhadap cerita rakyat Walisongo. Selanjutnya, nilai-nilai religious dari cerita rakyat Walisongo dan cara penyampaiannya dibedah dengan teori pragmatik. Cerita rakyat Walisongo menceritakan penyebaran Islam di Nusantara, terutama di Jawa. Walisongo adalah sembilan tokoh legendaris yang benar-benar hidup di Jawa. Mereka adalah sembilan wali yang pertama kali menyebarkan Islam di tanah Jawa. Nilai-nilai ajaran Islam diperkenalkannya secara damai, luwes, dan tanpa meninggalkan adat-istiadat maupun budaya daerah yang telah ada. Nilai religious adalah nilai kehidupan yang mencerminkan tumbuh kembangnya kehidupan beragama yang terdiri atas tiga unsur pokok, yaitu akidah, ibadah, dan akhlak. Akidah dalam cerita rakyat Walisongo berupa beriman kepada Allah. Ibadah terdiri atas dua macam, yaitu mahdah berupa salat dan berdoa dan ghairu mahdah, yakni menolong dan bersyukur. Akhlak ada dua macam pula, yakni akhlaqul karimah yang berupa ikhlas, tawaduk, dan amar ma’ruf nahi mungkar dan akhlaqul madzmumah yang berupa sombong, serakah, dan kikir. Cara penyampaian nilai-nilai tersebut secara tidak langsung, yakni melalui perkawinan, pertanian, dan kesenian.