Kajian ini berkaitan dengan perbandingan kata kerja dalam dialek Melayu Kedah dengan Bahasa
Melayu Standard dengan berfokuskan kepada apakah jenis-jenis kata kerja yang digunakan dalam
dialek Langgar dan bagaimanakah cara menganalisis kata kerja dalam dialek Langgar. Pengkaji
memfokuskan kajian ini di Langgar, satu daerah yang pesat membangun di Kedah. Kajian ini
dilakukan bagi mengenalpasti serta mengetahui perbezaan kata yang terdapat dalam dialek Melayu
Kedah yang difokuskan kepada dialek Melayu Kedah di Langgar yang berlokasi di Alor Ketar, Kedah
dengan bahasa Melayu Standard berdasarkan kepada aspek-aspek linguistik seperti analisis sintaksis
terhadap perkataan yang terdapat dalam dialek Melayu Kedah. Objektif kajian ini adalah untuk
mengenal pasti jenis kata kerja yang digunakan dalam dialek Langgar dan menganalisis kata kerja
dalam dialek Langgar menggunakan Kerangka Minimalis bahasa Melayu Standard. Pengkaji
menggunakan kaedah temu bual, iaitu menemu bual beberapa orang penduduk yang tinggal di
Langgar. Dapatan kajian mendapati 15 perkataan kata kerja dalam dialek Melayu Kedah dan bahasa
Melayu baku dipercayai boleh mendatangkan kekaburan bunyi kepada bukan penutur asli dialek
Melayu Kedah, namun menetap di Langgar, Kedah. Melalui kajian ini, dapat memberi pendedahan
kepada masyarakat tentang perkataan atau kata yang terdapat dalam dialek Melayu Kedah yang
memiliki makna serta sebutan yang berbeza dengan bahasa Melayu Standard. Seterusnya, adalah
untuk menghuraikan makna kata atau dalam dialek Melayu Kedah yang memiliki makna yang sedikit
berbeza dengan makna dalam bahasa Melayu Standard.