Sikap dan penghayatan jati diri Bahasa Melayu generasi Z (Gen Z) dalam menempuh Revolusi Industri 4.0
2020-12,
Siti Nurul Jannah Fital,
Junaini Kasdan
Kemaraan era Revolusi Industri 4.0 (RI4) yang pastinya berkaitan dengan bidang Sains dan
Teknologi didapati turut memberi kesan terhadap sistem pendidikan negara. Semua Institusi
Pengajian Tinggi, sama ada awam mahupun swasta berusaha keras bagi memastikan produk yang
dihasilkan melalui program-program yang ditawarkan memenuhi keperluan pasaran pekerjaan
berteraskan RI4. Ironinya, bidang Sains dan Teknologi ini sentiasa dikaitkan dengan keperluan
yang tinggi terhadap penguasaan bahasa Inggeris. Sejak pertengahan tahun 2010, istilah RI4
semakin tersebar di negara ini hingga menimbulkan kebimbangan terhadap kedudukan bahasa
Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu. Sebenarnya, selagi penuturnya terus
mendaulatkan dan berusaha melestarikan serta memperkaya bahasa ini, Bahasa Melayu tidak
akan terancam dengan kemaraan era RI4. Namun persoalannya adakah penutur bahasa Melayu
khususnya dalam kalangan generasi Z (Gen Z) mempunyai sikap untuk mendaulatkan dan
berusaha melestarikan serta memperkaya bahasa ini. Justeru, kajian ini dijalankan dengan tujuan
untuk melihat bagaimana tahap sikap dan penghayatan generasi Z terhadap bahasa Melayu yang
menjadi antara asas pembinaan jati diri bahasa kebangsaan. Adakah tahap jati diri mereka
terhadap bahasa kebangsaan berada pada tahap yang membimbangkan atau tidak? Generasi ini
juga dikenali sebagai generasi digital yang mahir akan teknologi informasi dan berbagai aplikasi
komputer. Bagi mencapai tujuan kajian, instrumen pengukuran jati diri bahasa yang dibangunkan
khusus untuk kajian ini dimanfaatkan.
Pengaruh sosiokognitif generasi Z terhadap jati diri Bahasa Melayu
2020-12,
Siti Nurul Jannah Fital,
Junaini Kasdan
Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti tahap jati diri bahasa Melayu dalam kalangan
Generasi Z (Gen Z) di Malaysia berdasarkan perspektif Sosiokognitif. Secara khususnya
kajian ini adalah untuk melihat pengaruh sosiokognitif yang melatari Gen Z terhadap
tahap jati diri bahasa Melayu mereka. Kajian ini melibatkan 660 orang responden
daripada Gen Z, yang dipilih berdasarkan lokasi tempat tinggal bandar, pinggir bandar
dan luar bandar di seluruh Malaysia. Instrumen soal selidik digunakan dan diedar
menggunakan ‘Google Form’ untuk pengumpulan data. Instrumen yang dibangunkan
oleh pengkaji mempunyai tahap keesahan dan kebolehpercayaan yang tinggi, iaitu α
=0.75 hingga α = 0.91. Data dianalisis secara deskriptif dan inferensi menggunakan
Statistical Package for Social Sciences (SPSS) versi 25.0. Kajian menggunakan empat
pemboleh ubah utama yang berfungsi sebagai latar sosial Gen Z iaitu jantina,
kaum/etnik, aliran pendidikan dan lokasi kediaman. Tahap jati diri bahasa Melayu Gen Z
diukur berdasarkan empat indikator iatu sikap, persepsi, penghayatan dan pengamalan
bahasa Melayu mereka. Kajian mendapati bahawa terdapat perbezaan sikap, persepsi,
penghayatan dan pengamalan bahasa Melayu dalam kalangan Gen Z yang mempunyai
latar belakang sosial yang berbeza. Perbezaan ini seterusnya akan mewujudkan pula
perbezaan tahap jati diri bahasa Melayu dalam kalangan mereka.