Kemaraan era Revolusi Industri 4.0 (RI4) yang pastinya berkaitan dengan bidang Sains dan
Teknologi didapati turut memberi kesan terhadap sistem pendidikan negara. Semua Institusi
Pengajian Tinggi, sama ada awam mahupun swasta berusaha keras bagi memastikan produk yang
dihasilkan melalui program-program yang ditawarkan memenuhi keperluan pasaran pekerjaan
berteraskan RI4. Ironinya, bidang Sains dan Teknologi ini sentiasa dikaitkan dengan keperluan
yang tinggi terhadap penguasaan bahasa Inggeris. Sejak pertengahan tahun 2010, istilah RI4
semakin tersebar di negara ini hingga menimbulkan kebimbangan terhadap kedudukan bahasa
Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu. Sebenarnya, selagi penuturnya terus
mendaulatkan dan berusaha melestarikan serta memperkaya bahasa ini, Bahasa Melayu tidak
akan terancam dengan kemaraan era RI4. Namun persoalannya adakah penutur bahasa Melayu
khususnya dalam kalangan generasi Z (Gen Z) mempunyai sikap untuk mendaulatkan dan
berusaha melestarikan serta memperkaya bahasa ini. Justeru, kajian ini dijalankan dengan tujuan
untuk melihat bagaimana tahap sikap dan penghayatan generasi Z terhadap bahasa Melayu yang
menjadi antara asas pembinaan jati diri bahasa kebangsaan. Adakah tahap jati diri mereka
terhadap bahasa kebangsaan berada pada tahap yang membimbangkan atau tidak? Generasi ini
juga dikenali sebagai generasi digital yang mahir akan teknologi informasi dan berbagai aplikasi
komputer. Bagi mencapai tujuan kajian, instrumen pengukuran jati diri bahasa yang dibangunkan
khusus untuk kajian ini dimanfaatkan.