Now showing 1 - 3 of 3
  • Publication
    Ekspektasi antara hasrat dan realiti wanita bekerjaya terhadap pengurusan kekeluargaan: kajian di Universiti Malaysia Perlis
    Arus globalisasi yang mewarnai kehidupan manusia memberi dampak antaranya, kos sara hidup semakin meningkat dan kualiti pengurusan rumah tangga. Justeru, pendapatan yang stabil dan pengurusan masa yang amat diperlukan untuk memastikan keperluan keluarga diberi keutamaan. Realiti yang berlaku ini mendorong para isteri yang bekerjaya menyusun dan merancang pengurusan masa dan perlaksanaan tanggungjawab secara berhikmah dalam memenuhi keperluan tersebut. Di samping itu, status pendidikan tinggi yang diperolehi oleh kaum wanita pada hari ini membolehkan mereka membina kerjaya masing-masing. Hakikatnya, apabila kedua-dua ibu bapa bekerja, masa yang dihabiskan bersama keluarga menjadi longgar. Implikasinya, secara tidak langsung mengakibatkan masa menguruskan keluarga semakin singkat. Akibatnya, sebahagian daripada masa penting perlu diagihkan kepada profesyen kerjaya dan sudah tentu memberi impak terhadap kualiti rumahtangga. Anak-anak perlu disemai dengan nilai-nilai murni dan harmoni kerana ia akan memperngaruhi personaliti peribadi yang terpuji. Ibu-ibu yang bekerja sering menghadapi dilema sama ada patut meneruskan pekerjaan atau tidak apabila terbit naluri keibuan dalam diri mereka. Tidak dinafikan setiap wanita yang berkahwin mempunyai hasrat yang tinggi untuk menguruskan keluarga dengan baik. Meskipun begitu, apabila mereka bekerjaya secara realitinya mereka perlu bijak membahagikan fokus tumpuan terhadap rumahtangga. Adakah ini benar? Maka kajian ini ingin melihat sama ada wanita bekerjaya mampu merealisasi hasrat menguruskan keluarga mereka dengan baik. Selain itu, faktor-faktor penyumbang kepada permasalahan keluarga dan tindakan yang diambil oleh responden apabila menghadapi masalah juga dilakukan kajian. Umumnya kajian ini melibatkan 92 orang responden. Kajian mendapati implikasi yang berlaku ke atas wanita bekerjaya di UniMAP di antara hasrat dan realiti terhadap keberkesanan pengurusan keluarga menunjukkan mereka mampu mengimbangi antara tugas di pejabat dan tugas di rumah. Malah sebahagian besar wanita bekerjaya di UniMAP berserah kepada Ilahi dan menyelesaikan masalah sendiri apabila menghadapi masalah keluarga. Secara fitrahnya, apabila manusia menghadapi sebarang kesulitan dan kesusahan mereka akan mengadu dan meminta bantuan daripada Ilahi.
  • Publication
    Pemerkasaan al-Quran dan al-Sunnah penyumbang kepada kecemerlangan Tamadun Melayu: satu analisis
    Nur kebenaran yang terpancar daripada isi kandungan al-Quran dan alSunnah mengandungi asas-asas keluhuran pembentukan peradaban sebagai panduan asas untuk diikuti oleh seluruh manusia. Al-Quran dan al-Sunnah menyeru semua masyarakat supaya kembali kepada pemikiran rasional dan realistik dan menyangkal pemikiran yang diikat dengan fahaman animisme, paganisme dan “syncretism”. Sebagai kitab yang paling sempurna diciptakan oleh Allah, maka al-Quran merupakan obor kebenaran yang menerangi liku-liku kehidupan yang perlu dilalui oleh setiap manusia. Begitu juga al-Sunnah yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW melalui petunjuk Ilahi menjadi petunjuk kepada manusia untuk menguruskan sistem kehidupan. Sejarah telah mencerahkan bahawa pengajaran yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah telah memberi impak yang positif terhadap kebudayaan Melayu. Ajaran Islam yang telah berstimulasi dalam kebudayaan Melayu telah menimbulkan satu gelombang yang hebat dalam menggerakkan proses merevolusi sistem pandangan hidup masyarakat yang telah memalingkan dari alam seni mitos yang khayal kepada pembentukan alam akal dan budi yang menuntut kepada kaedah tertib yang teratur. Islam telah mengubah lanskap kebudayaan Melayu kepada kepercayaan rasionalisme dan pengetahuan akliah. Manifestasi ini dizahirkan melalui sistem masyarakat yang berasaskan kepada kebebasan, keadilan dan kemuliaan keperibadian insan. Justeru itu, penelitian yang lebih kritis dan saintifik terhadap impak pengajaran al-Quran dan al-Sunnah terhadap perkaitannya dalam memperkasakan bangsa Melayu perlu dilakukan. Kajian yang dijalankan ini adalah bersifat kualitatif dengan mengkaji persejarahan Islam bagi mendapatkan gambaran yang lebih tepat tentang aspek budaya dan pemikiran serta realiti hidup masyarakat Melayu kini. Natijahnya, ajaranal-Quran dan al-Sunnah telah berjaya mewarnai sistem kepercayaan, falsafah, bahasa, sejarah dan kesenian masyarakat Melayu. Sifat dan hakikat kecemerlangan kebudayaan Melayu tidak dapat dijuzukkan daripada pengajaran Islam. Apa yang nyata, umat Melayu akan terus unggul dan berdaya saing sekiranya berpegang teguh dengan pegangan al-Quran dan al-Sunnah.
  • Publication
    Melestarikan pembangunan komuniti sejahtera
    ( 2015) ;
    Juliana Ahmad
    ;
    Melestarikan Pembangunan Komuniti Sejahtera merupakan Siri Diges Kemanusiaan yang menghimpunkan artikel-artikel mengenai isu-isu berkaitan bidang kemanusiaan. Fokus utama buku ini adalah membincangkan peranan dan tanggungjawab masyarakat bagi melahirkan sebuah komuniti yang sejahtera. Bidang kemanusiaan sentiasa relevan dan sentiasa menarik minat pelbagai pihak untuk mencapai kesejahteraan sejagat. Buku ini dapat memberikan pencerahan dan panduan yang berguna kepada para pembaca untuk memperbaiki diri, seterusnya membentuk masyarakat yang berakhlak dan bermoral yang menyumbang kepada keharmonian negara.