Dialek ialah variasi daripada sesuatu bahasa yang digunakan dalam
pertuturan oleh sekumpulan penutur di sesebuah tempat. Setiap dialek
mempunyai sifat-sifatnya tersendiri yang membezakannya dari dialek-dialek
lain. Perbezaan antara dialek-dialek itu boleh dilihat dari sistem bahasa
dialek tersebut. Oleh itu, kertas kerja ini dihasilkan bertujuan untuk
menunjukkan bahawa wujudnya pengaruh budaya yang mempengaruhi
perbezaan penggunaan dialek di kawasan Pendang, Kedah. Hal ini mungkin
terjadi akibat daripada pengaruh budaya seperti ekonomi, penjajahan,
perkahwinan, pendidikan, keagamaan dan sebagainya. Selain itu, kajian ini
juga bertujuan menganalisis fonologi dialek Charok Kudung yang
merupakan salah satu tempat yang masih kuat pengaruh dialeknya. Pengkaji
juga ingin menjelaskan dan menunjukkan perbezaan dari segi fonologi atau
sebutannya. Perbezaan yang berlaku mungkin juga disebabkan oleh
pengaruh luar yang masuk ke dalam kawasan Pendang, Kedah sehingga
menyebabkan wujudnya perbezaan dialek. Dalam melaksanakan kajian ini,
dua buah kampung yang terlibat ialah Kampung Bukit Jambul dan
Kampung Charok Kudong yang terletak di kawasan Pendang, Kedah.
Kajian ini melibatkan 30 orang responden, iaitu 10 orang responden dari
Kampung Bukit Jambul, 10 orang responden dari Kampung Charok
Kudong dan 10 orang responden lagi adalah penutur jati dialek Baling yang
boleh memberi maklumat atau data. Kaedah kajian yang dijalankan adalah
mengkaji bunyi melalui soal selidik yang dilakukan kepada penduduk
Kampung Charok Kudung, Kampung Bukit Jambul dan segelintir daripada
penduduk kawasan Baling yang menuturkan dialek yang sama. Hasil
dapatan kajian ini, pengkaji ingin mengemukakan kajian dialek yang
berkaitan dengan pengaruh luar atau keadaan yang telah menyebabkan
berlakunya perbezaan sebutan dan makna dalam sesuatu dialek yang
berbeza walaupun dari daerah atau kawasan yang sama.