Sejak kedatangan Islam, bangsa Melayu cukup terkesan dengan kewujudan masjid. Institusi ini cukup berperanan dalam mewarnai suasana kehidupan masyarakat Melayu kerana lingkungan kehidupan mereka sering terkait dengan masjid. Pembukaan masjid di Pulau Pinang agak menarik untuk dikaji kerana ia antara negeri di Malaysia yang lewat ditubuhkan Majlis Agama Islam. Selain bangsa Melayu, penduduk Islam di Pulau Pinang terdiri daripada pelbagai etnik dan mazhab sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi. Tanpa kawalan pentadbiran Islam yang berkesan menyebabkan munculnya konflik seiring dengan kewujudan masjid. Penulisan ini bertujuan mengetengahkan sejarah pembukaan beberapa buah masjid di Pulau Pinang dan suasana konflik yang melatarinya.