Masalah kesihatan wanita seperti fibroid sering berlaku dan menjejaskan aspek emosi wanita yang mengalaminya. Oleh yang demikian, tahap kesedaran wanita terhadap masalah fibroid amat penting dalam meningkatkan kualiti kesihatan wanita di Malaysia. Oleh itu, kajian ini dilaksanakan dengan tujuan mengenal pasti sejauh mana pengetahuan wanita di luar bandar tentang fibroid. Kemudian, membincangkan kesan terhadap emosi
wanita melalui aspek linguistik secara lisan dan bertulis. Seterusnya, mencadangkan langkah wanita dalam mengawal emosi dan meningkatkan pengetahuan tentang fibroid. Selain itu, kajian ini mengaplikasikan Teori Perkembangan Psikososial Erik Erikson dalam analisis data kajian. Keputusan kajian memperlihatkan bahawa wanita yang mengalami masalah fibroid cenderung memberikan fokus terhadap kesan jangka masa panjang dan aspek keintiman pasangan. Malah, masalah fibroid berupaya menggangu psikologi wanita dalam kehidupan harian mereka. Selain itu, tahap pengetahuan yang mendalam tentang fibroid masih lagi berada pada tahap yang rendah di luar bandar. Oleh yang demikian, kesedaran tentang fibroid kepada wanita di luar bandar perlu ditingkatkan oleh pihak berwajib. Kajian ini diharapkan dapat membantu meningkatkan pengetahuan serta kesedaran wanita tentang fibroid bagi membantu mereka memahami dengan terperinci tentang aspek rawatan, kesan dan alternatif untu membantu mengurangkan risiko buruk terhadap masalah fibroid yang dihidapi wanita.