Perniagaan secara umumnya menurut perspektif Barat adalah menggabungkan tiga aspek penting iaitu yang pertamanya ialah tujuan - kenapa institusi atau organisasi perniagaan itu wujud, kedua strategi dan yang ketiganya ialah nilai dan etika kerja. Etika perniagaan bolehlah ditakrifkan sebagai satu set peraturan yang mengandungi nilai-nilai, prinsip dan 'standard' yang memandu manusia berkelakuan dalam dunia perniagaan (Ferrel, Thorne, Ferrel 2010). Manakala nilai pula digunakan sebagai alat untuk menggesa manusia mengamalkan norma-norma yang diterima masyarakat umum seperti integriti, akauntabiliti dan jujur (Ferrel, Thorne, Ferrel 2010). Persoalan ‘keuntungan’ adalah perkara pokok dalam perniagaan. Bukan sahaja Barat, malah Islam sendiri pun meletakkan keuntungan sebagai salah satu perkara yang perlu dititikberatkan dalam perniagaan. “Siapa yang berniaga inginkan kerugian”, sudah lumrah manusia melakukan sesuatu dengan niat mencapai matlamat yang baik, maka dalam konteks perniagaan, keuntungan adalah objektif yang seharusnya dicapai. Tetapi sebenarnya perniagaan tidak seharusnya ditetapkan hanya untuk mendapatkan keuntungan semata-mata, tetapi ianya juga mestilah dibina demi memenuhi tanggungjawab sosial. Maka, artikel ini akan mengupas
persoalan berkaitan etika dalam perniagaan, sejarah kelahirannya, kepentingan etika dalam perniagaan dan isu-isu yang menyelubungi etika perniagaan untuk diambil iktibar oleh semua pihak dalam mencapai ekosistem peniagaan yang berteraskan integriti secara total.