Pantun dan masyarakat mempunyai hubungan yang begitu akrab. Pantun Melayu
menyerlahkan pemikiran, pengalaman, emosi, harapan dan sentimen masyarakat Melayu.
Keindahan pantun tersebut dapat dilihat melalui ciri-ciri dalamannya yang tepat,
mengandungi pengertian, pemikiran dan falsafah yang keseluruhannya terkandung
dalam sebuah ungkapan. Dalam ungkapan pantun yang terdiri daripada baris pembayang
dan baris maksud, terdapat unsur alam seperti flora, fauna dan juga ilmu-ilmu yang
dimiliki oleh masyarakat terdahulu untuk membentuk sebuah pantun. Kajian ini
bertujuan meneliti kearifan orang Melayu dalam ilmu maritim yang terdapat dalam
pantun tradisional Melayu dan membuktikan bahawa masyarakat Melayu merupakan
masyarakat maritim yang unggul. Objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti unsur
maritim dalam pantun tradisional Melayu dan menghuraikan secara deskriptif pantun
Melayu yang berunsurkan maritim. Kajian ini difokuskan kepada data pantun yang
berunsurkan maritim dalam buku Kurik Kundi Merah Saga: Kumpulan Pantun Lisan
Melayu (2013). Terdapat sebanyak 803 pantun yang berunsurkan maritim.
Penganalisisan kajian difokuskan terhadap domain-domain maritim yang paling dominan
dalam pantun Melayu, seperti geografi, pengangkutan air, flora dan fauna, barang dan
makanan, serta orang. Selanjutnya, kajian ini akan mengkategorikan dan menghuraikan
secara deskriptif pantun maritim yang terdapat dalam buku tersebut. Dapatan kajian
menunjukkan bahawa maritim Nusantara dapat dibuktikan melalui pantun tradisional
Melayu yang telah dikategorikan mengikut domain yang disenaraikan. Justeru, kajian ini
secara tidak langsung dapat mencungkil kehebatan masyarakat Melayu dalam ilmu
kelautan atau ilmu maritim.