Berdasarkan amalan penterjemahan, makalah ini membincangkan prosedur terjemahan
bahasa istana dan bahasa klasik dalam terjemahan intralingual Hikayat Bayan Budiman
berdasarkan panduan pemindahan bahasa yang digagaskan oleh Za'ba (1934).
Terjemahan intralingual merupakan terjemahan yang dilakukan dalam bahasa yang
sama. Bentuk terjemahan boleh melibatkan pengungkapan semula atau parafrasa atau
pentafsiran lambang verbal dengan makna lambang yang lain dalam bahasa yang sama.
Za'ba dalam bukunya Ilmu Mengarang Melayu (1934) menggariskan beberapa panduan
pemindahan bahasa yang sesuai dijadikan panduan kepada penterjemah dalam
menangani cabaran yang timbul sebelum dan semasa proses terjemahan dilakukan.
Dalam penterjemahan bahasa istana, penterjemah cenderung menggunakan prosedur
terjemahan parafrasa, neutralisasi, nota kaki dan beberapa prosedur terjemahan lain
dalam menangani cabaran terjemahan bahasa Melayu klasik kepada bahasa Melayu
moden. Penterjemah juga turut menyuaipadankan panduan terjemahan yang diberikan
oleh Za'ba dengan kaedah terjemahan komunikatif yang diutarakan oleh Newmark
(1988) dalam melakukan terjemahan. Cabaran yang dikenal pasti dalam menterjemah
bahasa istana dan bahasa klasik dalam Hikayat Bayan Budiman adalah untuk
mengekalkan kesesuaian unsur sintaksis bahasa Melayu moden tanpa mengabaikan
keindahan bahasa yang menjadi nadi dalam teks bahasa Melayu klasik. Selain itu, aspek
stailistik dan keindahan gaya penulisan bahasa Melayu klasik turut cuba dikekalkan dan
diperkenalkan dalam teks sasaran. Cabaran yang diketengahkan dan juga cadangan
penyelesaian yang dikemukakan oleh penterjemah diharapkan mampu memberi panduan
dalam penterjemahan bahasa istana dan terjemahan intralingual bahasa Melayu dan
turut membantu menggalakkan perkembangan terjemahan intralingual di Malaysia.