Now showing 1 - 1 of 1
  • Publication
    Prosedur terjemahan Bahasa Istana dan Bahasa Klasik dalam terjemahan intralingual Hikayat Bayan Budiman
    ( 2019-12) ;
    Nur Syamilah Mat Said
    Berdasarkan amalan penterjemahan, makalah ini membincangkan prosedur terjemahan bahasa istana dan bahasa klasik dalam terjemahan intralingual Hikayat Bayan Budiman berdasarkan panduan pemindahan bahasa yang digagaskan oleh Za'ba (1934). Terjemahan intralingual merupakan terjemahan yang dilakukan dalam bahasa yang sama. Bentuk terjemahan boleh melibatkan pengungkapan semula atau parafrasa atau pentafsiran lambang verbal dengan makna lambang yang lain dalam bahasa yang sama. Za'ba dalam bukunya Ilmu Mengarang Melayu (1934) menggariskan beberapa panduan pemindahan bahasa yang sesuai dijadikan panduan kepada penterjemah dalam menangani cabaran yang timbul sebelum dan semasa proses terjemahan dilakukan. Dalam penterjemahan bahasa istana, penterjemah cenderung menggunakan prosedur terjemahan parafrasa, neutralisasi, nota kaki dan beberapa prosedur terjemahan lain dalam menangani cabaran terjemahan bahasa Melayu klasik kepada bahasa Melayu moden. Penterjemah juga turut menyuaipadankan panduan terjemahan yang diberikan oleh Za'ba dengan kaedah terjemahan komunikatif yang diutarakan oleh Newmark (1988) dalam melakukan terjemahan. Cabaran yang dikenal pasti dalam menterjemah bahasa istana dan bahasa klasik dalam Hikayat Bayan Budiman adalah untuk mengekalkan kesesuaian unsur sintaksis bahasa Melayu moden tanpa mengabaikan keindahan bahasa yang menjadi nadi dalam teks bahasa Melayu klasik. Selain itu, aspek stailistik dan keindahan gaya penulisan bahasa Melayu klasik turut cuba dikekalkan dan diperkenalkan dalam teks sasaran. Cabaran yang diketengahkan dan juga cadangan penyelesaian yang dikemukakan oleh penterjemah diharapkan mampu memberi panduan dalam penterjemahan bahasa istana dan terjemahan intralingual bahasa Melayu dan turut membantu menggalakkan perkembangan terjemahan intralingual di Malaysia.
      2  152