Kewujudan masyarakat pluralistik dalam aspek agama, bangsa dan budaya
memerlukan suatu wadah bagi membina persefahaman dan sikap toleransi
dalam kalangan masyarakat. Selaras dengan suasana masyarakat beragama di
Malaysia, dialog antara agama dilihat sebagai wadah yang efektif untuk
dibudayakan dalam segenap lapisan masyarakat. Dalam konteks semasa,
pengamalan dialog antara agama lazimnya diterajui oleh NGO Islam,
antaranya di Pulang Pinang adalah IPSI. Artikel ini membincangkan tahap
kefahaman IPSI tentang dialog antara agama. Reka bentuk kajian adalah
bersifat kualitatif dan kuantitatif dengan menggunakan kajian kepustakaan
dan tinjauan sebagai metode utama kajian. Seramai 60 orang dalam kalangan
ahli IPSI telah terlibat sebagai responden. Dapatan menunjukkan tahap
kefahaman responden dalam dialog antara agama adalah baik (M = 4.13).
Dasar kefahaman IPSI adalah melihat dialog antara agama sebagai suatu
metode dalam dakwah dengan bertujuan untuk mengajak penganut bukan
Islam menerima Islam sebagai anutan. Selain itu, IPSI juga memahami
dialog sebagai metode untuk membina persefahaman dalam kalangan
masyarakat beragama.