Aspek penerapan nilai murni dalam pengajaran dan pembelajaran adalah
mustahak, terutamanya untuk menyediakan pelajar yang mempunyai
ketahanan diri yang kukuh. Pelajar yang dididik melalui sistem persekolahan
mestilah mampu menghadapi cabaran semasa dan juga cabaran masa depan.
Cita-cita ini akan tercapai sekiranya mereka menghayati nilai-nilai murni
yang menjamin pembentukan peribadi dan sahsiah diri yang utuh, kental
dan padu. Justeru, kertas kerja ini membincangkan hasil kajian amalan
penerapan nilai murni dalam pengajaran Bahasa Melayu dan hubungannya
dengan penghayatan nilai murni pelajar. Kajian ini merupakan kajian
kuantitatif yang menggunakan reka bentuk kajian tinjauan deskriptif. Data
dikutip melalui soal selidik yang melibatkan sampel kajian terdiri daripada
448 orang pelajar pelbagai bangsa sekolah menengah harian terpilih di
Semenanjung Malaysia. Hasil kajian mendapati terdapat hubungan yang
positif dan signifikan antara kekerapan penerapan nilai murni dalam
pengajaran Bahasa Melayu dengan penghayatan nilai murni pelajar. Selain
itu, kajian mendapati hanya teknik model/contoh penerapan nilai murni
dalam pengajaran sahaja yang mempunyai hubungan signifikan dengan
penghayatan nilai murni pelajar. Rumusannya, dapatan kajian ini dapat
menjadi panduan bagi memastikan amalan penerapan nilai murni dapat
dilaksanakan dengan baik. Hal ini demikian kerana nilai-nilai yang
diterapkan adalah nilai sejagat yang diterima oleh semua masyarakat yang
terdiri daripada Melayu, China dan India. Secara tidak langsung, ia memberi
implikasi dalam mewujudkan kelangsungan hubungan antara kaum melalui
amalan penerapan nilai murni dalam pengajaran guru khususnya dalam
Bahasa Melayu yang merupakan mata pelajaran teras yang wajib diambil
oleh semua pelajar pelbagai bangsa.