Kajian ini bertujuan untuk mengkaji amalan pengurusan pengetahuan dalam kalangan
para guru. Seramai 629 orang guru dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak dijadikan
sampel untuk kajian ini. Secara lebih spesifik lagi, objektif kajian ini ialah untuk
perbezaan dalam amalan pengurusan pengetahuan mengikut jantina dan pengalaman
mengajar. Respon diperolehi daripada instrumen yang terdiri daripada 27 item yang
mengukur lima dimensi pengurusan pengetahuan, iaitu pemerolehan pengetahuan,
pendokumentasian pengetahuan, perkongsian pengetahuan, penciptaan pengetahuan
dan pengaplikasian pengetahuan. Perbezaan amalan pengurusan pengetahuan dikenal
pasti melalui ujian t sampel bebas dan ANOVA satu hala. Dapatan menunjukkan
bahawa amalan pengurusan pengetahuan guru adalah pada tahap tinggi dengan guru
menunjukkan kebolehan yang tinggi dalam amalan pendokumentasian pengetahuan,
sebaliknya guru kurang berkebolehan dalam amalan pengaplikasian pengetahuan.
Dapatan juga menunjukkan terdapat min skor yang berbeza secara signifikan di antara
guru lelaki dan guru perempuan dari semua aspek kecuali pemerolehan pengetahuan.
Hasil analisis juga menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan berdasarkan
pengalaman guru dalam dimensi pemerolehan dan pengaplikasian pengetahuan.
Berdasarkan dapatan kajian ini, dicadangkan bahawa sebarang bentuk aktiviti
perkembangan profesional seperti LADAP yang dijalankan di sekolah perlu mengambil
kira faktor jantina dan pengalaman mengajar guru agar pengetahuan yang ingin
disampaikan dapat diterima secara optimum oleh para guru.