Meskipun bahasa Arab di Management and Science University (MSU) telah ditawarkan
sejak tahun 1996, namun masih belum ada kajian khusus berkaitan proses pembelajaran
bahasa Arab lantaran tiada keperluan yang mendesak seperti pada hari ini iaitu
permintaan yang tinggi daripada para pelajar untuk mengambil subjek bahasa Arab
sebagai bahasa ketiga. Ini adalah kerana bahasa Arab telah menjadi pilihan ramai para
pelajar khususnya mereka yang menganggap bahasa Arab sebagai satu keperluan
komunikasi yang penting pada hari ini. Maka, melalui kajian ini, pengkaji cuba melihat
proses pembelajaran bahasa Arab dengan menggunakan sistem jadual di MSU dengan
menggunakan sukatan yang diajar oleh pengkaji sendiri selaku pensyarah bahasa Arab.
Pengkaji menggunakan kaedah kepustakaan berdasarkan pengalaman dan pemerhatian
pengkaji sepanjang mengajar subjek bahasa Arab di MSU sejak tahun 2016. Berdasarkan
kajian-kajian yang dikumpul, pengkaji mendapati bahawa sistem jadual merupakan antara
kaedah pembelajaran bahasa yang lebih mudah dan ringkas khususnya untuk mempelajari
bahasa asing seperti bahasa Arab. Pembelajaran berasaskan sistem jadual juga termasuk
dalam kategori pembelajaran melalui aktiviti seperti yang dicadangkan oleh sarjana
bahasa dan linguistik sebagai kaedah pembelajaran abad ke-21.