Options
Pelaksanaan undang-undang Islam di Mahkamah Syariah Johor Bahru, Johor
Journal
Journal of Human Development and Communication (JoHDEC)
ISSN
2232-1535
Date Issued
2015
Author(s)
Mohd Fazrin Hamdan
Politeknik Ibrahim Sultan
Abstract
Pindaan perkara 5 dan perkara 121 Perlembagaan Persekutuan memberi nafas baru
khususnya kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah. Kesannya ialah apa jua yang berada
dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah, Mahkamah Tinggi tidak boleh campur tangan
seperti dalam soal harta pusaka, penjagaan kanak-kanak dan sebagainya. Namun begitu,
jika dilihat dengan lebih mendalam bidang kuasa Mahkamah Syariah sangatlah terhad ke
atas orang Islam sahaja dan dalam tiga bidang sahaja, iaitu undang-undang keluarga,
perwarisan dan beberapa kesalahan matrimoni dan kesalahan takzir sepertimana dalam
perkara-perkara yang diperuntukkan dalam Jadual ke-9, Senarai II Perlembagaan
Persekutuan. Kajian ini bertujuan melihat keberkesanan pelaksanaan undang-undang
Islam di Mahkamah Syariah Johor Bahru, Johor sejak dari tahun 2003 hingga 2006.
Kajian ini juga menyingkap beberapa aspek yang diperoleh secara keseluruhannya
berkaitan pelaksanaan undang-undang Islam di Mahkamah Syariah Johor Bahru, Johor
sejak dari tahun 2003 hingga 2006. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif. Metode
pengumpulan data ialah melalui pemerhatian dan penganalisisan dokumen. Kaedah temu
bual separa berstruktur digunakan ke atas individu signifikan, iaitu Penolong Pendaftar
Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor untuk mendapatkan pandangan terhadap
pelaksanaan undang-undang Islam di Mahkamah Syariah Johor Bahru, Johor. Setiap
maklumat dan data yang terkumpul akan dianalisis berdasarkan pendekatan deskriptif
dan komparatif. Hasil kajian mendapati bahawa Mahkamah Syariah kini adalah bebas
daripada campur tangan mahkamah sivil sejak Pindaan Perlembagaan Persekutuan pada
tahun 1988. Begitu juga dari sudut pentadbiran Mahkamah Syariah telah berpisah dari
Jabatan Agama Islam atau Majlis Agama Islam sejak tahun 1996.