Ucapan politik ialah saluran komunikasi pemimpin dengan yang dipimpin. Melalui ucapan politik, pemimpin meraih sokongan terhadap kekuasaan, merencanakan tindakan dan perancangan masa depan. Komponen pengucapan politik termasuklah apa yang diujarkan secara langsung dan juga tidak langsung. Dalam keadaan tertentu, ucapan tidak langsung lebih memberikan kesan kepada khalayak. Pengucapan tidak langsung atau implikatur ialah satu cabang bidang pragmatik yang mengambil kira hubungan dengan budaya dan masyarakat. Kertas kerja ini akan meneliti perkaitan antara penggunaan implikatur, pengucap dan persekitaran yang melingkari sesuatu ucapan politik. Dengan menggunakan teori implikatur Grice (1975) dan disesuaikan mengikut kerangka implikatur Asmah Haji Omar tentang lakuan bahasa tak langsung (indirect speech), pengkaji akan meneliti tiga teks ucapan perasmian perhimpunan Agung UMNO oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi. Hasil kajian menunjukkan bahawa penggunaan bahasa oleh Tun Abdullah mengambil kira khalayak dan aspek konteks yang lain seperti budaya Melayu. Beliau turut mengaplikasikan bentuk-bentuk implikatur
yang sesuai dengan falsafah kepemimpinan beliau.