Rancangan perniagaan terbukti telah menjadi senjata utama dalam menjana
strategi perniagaan yang kompetitif dalam kalangan firma-firma korporat
atau bersaiz besar dan boleh memberi impak ke atas prestasi perniagaan.
Namun demikian, perlaksanaan rancangan perniagaan didapati masih terhad
dalam kalangan firma-firma Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS),
terutamanya di negara-negara belum dan sedang membangun di samping
berdepan dengan cabaran bersaing dalam persekitaran luaran dinamik yang
memerlukan perubahan dan inovasi yang tinggi. Beberapa teori dan kajian
empirikal lepas telah membuktikan bahawa hubungan rancangan perniagaan
dengan prestasi perniagaan dan pengaruh persekitaran luaran dinamik ke
atas hubungan rancangan perniagaan dengan prestasi perniagaan PKS
adalah pelbagai dan masih terhad. Rentetan itu, kajian ini memeriksa dan
menentukan hubungan dan pengaruh tersebut. Kajian ini menggunakan
strategi teknik pensampelan kelompok (cluster sampling) dan kaedah kutipan
data melalui pos. Kajian ini melibatkan sampel daripada firma-firma PKS di
Malaysia yang terdiri daripada sektor perkilangan/pembuatan dan sektor
pertanian. Penemuan kajian mendapati hubungan rancangan perniagaan
strategik ke atas prestasi perniagaan PKS di Malaysia adalah signifikan
positif. Walau bagaimanapun, penemuan hubungan ini menjadi tidak
signifikan apabila PKS beroperasi dalam persekitaran luaran dinamik.
Kajian ini mencadangkan supaya PKS terus membudayakan penyediaan dan
perlaksanaan rancangan perniagaan kerana terbukti memberikan kesan
positif ke atas prestasi perniagaan. Selain itu, PKS juga disarankan supaya
menyediakan dan melaksanakan rancangan perniagaan bersesuaian dengan
persekitaran luaran.