Berbudi bahasa adalah gambaran pancaran hati jernih yang ditunjukkan
melalui tingkah laku serta penggunaan bahasa yang bersopan santun serta
tidak menyinggung perasaan pihak yang mendengar. Jika bahasa tidak
bersopan yang digunakan, tentu sekali masyarakat akan membuat penilaian
negatif terhadap pihak yang bercakap. Dewasa ini didapati terdapat
segelintir dalam kalangan anak muda bertindak biadab dalam penggunaan
bahasa ketika berkomunikasi. Keadaan ini tidak terkecuali kepada golongan
mahasiswa yang dikenali sebagai insan terpelajar. Sehubungan dengan itu,
kertas kerja ini akan meneliti amalan kesantunan berbahasa golongan ini
berdasarkan bahasa yang digunakan. Pendekatan kajian ialah dengan
menggunakan kaedah analisis deskriptif terhadap data-data yang diperoleh.
Amalan kesantunan berbahasa akan dilihat berdasarkan penggunaan unsur-unsur eufemisme dengan meneliti kaitannya dengan aspek sosiolinguistik
serta implikasinya terhadap kesantunan berbahasa. Eufemisme bukan sahaja
memberi gambaran yang lebih halus ke atas bahasa yang digunakan tetapi
juga memberi gambaran yang lebih positif kepada pengguna bahasa itu
sendiri.