Bermula dengan Jawatankuasa Pangkalan Data Komersil (JKPD) di bawah naungan Persidangan Perpustakaan Universiti dan Negara (PERPUN) dan kini dijenamakan sebagai Malaysian Online E-Resources Consortium (MOLEC) pada tahun 2010. MOLEC yang dianggotai oleh pustakawan bahan bersiri IPTA dan IPTS di Malaysia memainkan peranan penting dalam pengurusan langganan secara konsortium untuk manfaat perpustakaan akademik dan penyelidikan di Malaysia. Jawatankuasa ini melaksanakan pelbagai aktiviti dan program penandaarasan (benchmarking) bagi mencapai matlamat keberkesanan kos langganan. Ini selaras dengan peningkatan peruntukan kos langganan kepada sumber elektronik meliputi jurnal, buku dan tesis dalam format berkenaan. Perkembangan aliran terhadap penerbitan elektronik secara global merupakan peluang dan cabaran yang perlu ditangani secara berkesan oleh perpustakaan akademik di Malaysia. Perkembangan ini menuntut pelbagai pendekatan dalam pengukuran prestasi sumber elektronik. Hasil penilaian digunakan sebagai input dalam proses membuat keputusan sama ada untuk langganan individu ataupun konsortium.