Now showing 1 - 1 of 1
  • Publication
    Lima tahap penguasaan ilmu Nahu dalam kalangan guru-guru Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM)
    ( 2016)
    Hazrul Affendi Mohmad Razali
    ;
    Zamri Arifin
    ;
    Hakim Zainal
    ;
    Mohd. Nizho Abdul Rahman
    ;
    Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) daripada tahun 2009 hingga 2015 menunjukkan bahawa peratus pelajar yang tidak layak menerima sijil STAM tidak pernah kurang daripada 32%. Manakala dapatan kajian terdahulu berkaitan dengan mata pelajaran dalam bidang bahasa Arab STAM pula menunjukkan bahawa tahap penguasaan pelajar berada pada tahap lemah. Penguasaan bahasa Arab dalam kalangan guru merupakan antara faktor yang mempengaruhi pencapaian pelajar. Penguasaan bahasa Arab bermaksud keupayaan menguasai komponen yang membentuk bahasa tersebut. Antara komponen yang membentuk bahasa Arab adalah peraturan bahasa. Peraturan bahasa pula dibahaskan dalam ilmu Nahu. Kajian ini merupakan kajian rintis yang bertujuan untuk mengenal pasti tahap penguasaan ilmu Nahu dalam kalangan guru-guru STAM. Di samping itu, kajian ini juga bertujuan untuk menganalisis instrumen yang digunakan dan menilai kesahan dan kebolehpercayaan item instrumen kajian. Kajian ini melibatkan seramai 26 orang responden daripada Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) di negeri Perak. Instrumen yang digunakan dalam kajian ini adalah soal selidik dan satu set ujian tahap penguasaan ilmu Nahu. Hasil kajian mendapati tahap penguasaan ilmu Nahu dalam kalangan guru-guru STAM hanyalah berada pada tahap memuaskan. Manakala indeks kesukaran dan indeks diskriminasi item yang diperolehi melalui analisis item ujian pula telah menunjukkan bahawa semua item dapat digunakan dalam kajian sebenar. Kesahan set ujian tahap penguasaan ilmu Nahu diperolehi daripada dua orang pakar penilai melalui kesahan muka dan kesahan kandungan. Kebolehpercayaan item ujian yang diukur menggunakan formula Kuder-Richardson (KR-20) pula telah memperoleh nilai 0.894. Nilai ini menunjukkan kebolehpercayaan item dan ketekalan dalaman set ujian adalah tinggi dan sesuai untuk digunakan dalam kajian sebenar. Dapatan kajian ini menjelaskan bahawa wujud keperluan untuk meningkatkan lagi tahap penguasaan ilmu Nahu dalam kalangan guru-guru STAM dan juga keperluan melaksanakan kajian yang melibatkan responden yang lebih ramai.