Penguasaan kosa kata dalam komunikasi bahasa asing
2020,
Nurmasturah Jamil,
Noor Asliza Abdul Rahim,
Shuhairimi Abdullah
Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti penguasaan kosa kata bahasa asing dalam
kalangan pelajar di sekolah-sekolah menengah di Malaysia. Selain itu, objektif kajian ini
juga untuk mengetahui masalah pembelajaran bahasa asing yang dihadapi oleh pelajar
serta melihat pandangan guru terhadap masalah penggunaan kosa kata dalam
pembelajaran bahasa asing. Seramai 12 orang guru yang mengajar subjek bahasa asing,
iaitu subjek al-Lughah al-‘Arabiah al-Mu’asirah (Bahasa Arab) di beberapa buah sekolah
menengah agama dipilih sebagai sampel kajian. Instrumen kajian menggunakan borang
soal selidik. Data dianalisis berasaskan deskriptif asas dengan melihat kepada kekerapan
dan peratusan sahaja. Hasil kajian menunjukkan sebahagian besar pelajar yang
mempelajari Bahasa Arab sebagai bahasa asing menghadapi masalah menguasai kosa kata
dalam Bahasa Arab dan ini secara tidak langsung mengganggu proses komunikasi lisan dan
tulisan mereka. Dapatan kajian ini secara tidak langsung memberi implikasi terhadap
kaedah pengajaran bahasa dan komunikasi dalam usaha meningkatkan elemen kemahiran
insaniah dalam diri pelajar.