Semangat patriotisme merupakan satu keperluan dalam memastikan rakyat sentiasa menyokong dan mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara dari gangguan dan kekacauan yang datang dari dalam mahupun luar. Pembangunan patriotisme sangat penting dalam melahirkan satu golongan masyarakat yang sanggup berkorban untuk negara dan rakyatnya. Walaupun konsep patriotisme ini merupakan satu konsep kecintaan negara yang diwariskan dari satu zaman ke zaman yang lain, ia memerlukan satu medium ampuh dalam memastikan perasaan cinta pada negara ini sentiasa mekar dan kuat dalam diri masyarakat pada hari ini. Nyatanya, pendidikan merupakan salah satu cara yang diberi penekanan dalam memantapkan kefahaman dan semangat patriotis
di Malaysia. Sehubungan dengan itu, satu kajian dijalankan ke atas pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam khususnya di Universiti Malaysia Perlis untuk melihat tahap persepsi pelajar terhadap penawaran Mata Pelajaran Umum (MPU) hubungan etnik sebagai medium meningkatkan kefahaman patriotisme. Objektif kajian ini adalah untuk melihat perbezaan persepsi pelajar terhadap penawaran MPU hubungan etnik mengikut pecahan i) etnik, ii) jantina dan iii) kumpulan yang telah mengambil MPU hubungan etnik dan kumpulan yang belum mengambil MPU hubungan Etnik. Kaedah kajian tinjauan digunakan dan dianalisa menggunakan analisa kebolehpercayaan Cronbach’s Alpha, ujian normaliti dan ujian t sampel bebas.